Skip to main content

Bola Sepak

Piala AFF 2020: Harimau Malaya tiada taring

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

harimau-malaya.jpg
MALAYSIA 1 INDONESIA 4

Suka atau tidak, penyokong Harimau Malaya terpaksa akur apabila corak permainan Indonesia jauh lebih menarik untuk menafikan hajat Malaysia ke separuh akhir Piala AFF 2020.


Sehubungan itu, skuad kendalian Shin Tae-yong dari Korea Selantan tersebut lebih layak selaku juara Kumpulan B untuk ditemani Vietnam dengan keputusan 4-1 dalam pertemuan di Stadium Nasional Singapura, sebentar tadi. 

Malaysia menampilkan rombakan terutama di bahagian pertahanan tengah dengan menurunkan Dion Cools buat kali pertama dalam kejohanan ini untuk bergandingan dengan Junior Eldstal. 

Walaupun anak buah Tan Cheng Hoe -- muncul finalis edisi terakhir -- terlebih dahulu merobek gawang lawan menerusi R Kogileswaran dari jarak 24 meter pada minit ke-13, tetapi Sang Garuda jelas lebih menonjolkan igauan ngeri buat pasukan negara dengan mengatur 15 percubaan dan menguasai 52 peratus permainan dalam separuh masa pertama. 

Mereka kerap mengambil kesempatan ke atas kawalan longgar bola pemain negara sebelum menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-36 selepas bertukar hantaran untuk menembusi pintu gol negara hasil sentuhan Irfan Samaling Kumi -- dua minit selepas lambungan kurang tepat Syafiq Ahmad ketika pintu gol Indonesia sudah ternganga. 

Benteng negara terus hilang punca apabila Irfan sekali lagi mudah menolak masuk gol kedua pada minit ke-43 selepas bek sayap, Pratama Arhan, mudah menyusup ke kotak penalti Malaysia.

Ketika terdesak memerlukan gol kerana keputusan seri juga akan menafikan kemaraan Malaysia, Cheng Hoe mengerahkan Dion Cools untuk membantu serangan tetapi rembatan deras Pratama pada minit ke-50 menyempitkan lagi laluan negara, lima minit selepas babak kedua berlangsung. 




Syafiq turut hampa apabila jaringannya tidak diiktiraf berikutan kekasaran awal terhadap penjaga gol lawan, Nadeo Argawinata.

Di sebalik Guilherme De Paula, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri Fauzi dimasukkan bagi menambah sengat di bahagian serangan, lonjakan tinggi pemain yang berpangkalan di England, Elkan Baggott, menambah sengsara Harimau Malaya dengan gol keempat pasukannya, lapan minit menuju masa kecederaan.

Vietnam yang tergelincir ke tangga kedua kumpulan melalui perbezaan jaringan meskipun membelasah Kemboja 4-0 -- bakal berdepan juara Kumpulan B, Thailand, Khamis depan sementara Indonesia bertemu tuan rumah, Singapura, dalam pertemuan separuh akhir pertama pada Rabu depan.

"Kami rasa kecewa pasukan tidak layak ke separuh akhir kerana perlawanan malam ini cukup penting untuk menang, kami tidak mampu kawal intesiti (ketekalan) permainan Indonesia. 

"Banyak gol (dibolosi hasil) daripada kesilapan pemain saya sendiri. 

"Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab pasukan tidak layak ke separuh akhir, jadi kami perlu tahu kedatangan kami dalam situasi tersebut.

"Saya akan terus pandang ke depan dan kembali dengan lebih mantap tahun depan," kata Cheng Hoe yang diletakkan sasaran untuk membawa pasukan kebangsaan ke final.  

Tambahnya dalam sidang media selepas perlawanan: "Indonesia dan Vietnam ada persiapan yang baik, malangnya kami tidak.

"Pada masa depan perlu ada strategi dan perancangan dalam kempen seperti ini. 

"Kami cuba letakkan Dion di depan kerana ketinggalan dan perlukan gol penyamaan. 

"Bola sepak mengenai fizikal dan terjahan, saya berpesan kepada pemain agar patuhi keputusan pengadil."



 

Advertisement

Must Watch Video