Piala AFF 2020: Harimau Malaya pasrah andai usaha bawa pemain baru tidak kesampaian
Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2021 21:19 MYT
Disember 10, 2021 21:19 MYT
Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, pasrah dengan apa jua ketetapan pihak penganjur Piala AFF 2020, Singapura, dalam usaha membawa masuk pemain baru bagi mengharungi kempen ketika ini.
Sebelum membuka tirai saingan, dua pemain skuad kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, dan pemain di bahagian serangan, Faisal Halim, disahkan positif sebelum kem negara dikejutkan pula dengan situasi Quentin Cheng dan Akhyar Rasid yang positif pandemik itu menjelang sepak mula berdepan Laos, semalam.
Namun, keadaan semakin sukar dan risiko besar penularan COVID-19 sehingga menyulitkan percaturan untuk aksi seterusnya, khususnya dalam baki kempen Kumpulan B bertemu Vietnam (Ahad ini) dan Indonesia (Ahad depan.)
Mahu tidak mahu, Cheng Hoe berharap rayuan dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum keadaan menjadi lebih parah yang boleh mengundang skuad negara terpaksa menarik diri daripada saingan serantau itu.
"Memang kami ada memohon untuk membuat pertukaran pemain tetapi ia juga membabitkan polisi Kerajaan (Malaysia).
"(Jadi) semua pemain tidak kira mana-mana posisi kena bersedia. Kami yakin semua pemain mempunyai motivasi tinggi untuk mengisi kekosongan bagi mengharungi situasi yang cukup mencabar ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dua kemenangan yang dicetak setakat ini menepati sasaran pengendali kelahiran Kedah itu dan perhitungan dengan Vietnam bakal menjadi penentu sebenar keupayaan Harimau Malaya.
Dalam masa yang sama, Syahmi Safari mengakui dia masih cuba untuk serasi menggalas tanggungjawab sebagai pertahanan kiri.
Agak kekok, namun dia perlu segera mendapat rentak demi keperluan skuad negara selain percaturan Cheng Hoe dengan kudrat yang terhad.
"Saya masih (kekok) di bahagian kiri kerana sudah terbiasa beraksi di sebelah kanan.
"Kami kena berdisplin dan perlu elakkan kesilapan mudah yang boleh mendatangkan bahaya," kata pemain itu yang memutuskan untuk berpisah dengan Selangor pada musim depan.