SABAH 1 PSM MAKASSAR 3
Sabah menutup aksi peringkat kumpulan saingan Piala AFC dengan kekalahan 1-3 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar, di Stadium Likas sebentar tadi.
Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu, yang sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan tanpa perlu mengambil kira keputusan perlawanan kali ini, merehatkan beberapa pemain utama, antaranya penyerang, Darren Lok.
Bagaimanapun, mereka dibolosi dua gol dalam tempoh 26 minit separuh masa pertama, di mana Yacob Sayuri terlebih dahulu memecahkan kebuntuan buat pelawat menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-15 sebelum kesilapan pertahanan negara, Dominic Tan, terjaring gol ke gawang sendiri, menggandakan kelebihan PSM pada minit ke-36.
Sabah merapatkan jurang dalam babak kedua menerusi tandukan Telmo Castanheira pada minit ke-73 tetapi jaringan menyamaan yang dicari-cari tidak kunjung tiba, bahkan PSM menambah satu lagi jaringan dalam waktu kecederaan.
Everton menyudahkan peluang penalti untuk menjaringkan gol ketiga pelawat selepas Rizal Ghazali dikesan melakukan kekasaran ke atas Ricky Pratama.
Keputusan itu, bagaimanapun, tidak menggugat kedudukan Sabah, di mana mereka menjuarai Kumpulan H dengan 12 mata, dua mata di atas pencabar terdekat, Hai Phong.
Muzaffar Musa
Thu Dec 14 2023