PIALA AFC
Piala AFC: Ong Kim Swee dalam dilema persiap Sabah FC
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menghadapi situasi getir dalam mengatur tempoh berehat untuk pemainnya berikutan saingan Piala AFC masih berlangsung sehingga 5 Mei depan.
Seandainya skuad The Rhinos itu konsisten sehingga ke pentas final, kemungkinan tiada rehat buat mereka memandangkan saingan Liga Malaysia juga akan bermula dalam waktu yang sama.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, jadual latihan ke separuh akhir zon ASEAN hanya dapat ditentukan selepas pemain yang berkhidmat untuk skuad kebangsaan pulang ke kem latihan The Rhinos.
Iklan
"Bergantung kepada pasukan kebangsaan, apabila saingan Piala Asia sudah berakhir buat mereka, itu hanya boleh ditentukan pada tarikh mereka tamat berkhidmat.
"Jika saya mampu berikan satu, dua atau tiga hari rehat buat pemain kebangsaan, tetapi mereka harus kembali semula bersama Sabah di mana mereka masih mempunyai tanggungjawab bersama pasukan.
"Dan mereka perlu mengharungi latihan serta perlawanan penting (Piala AFC) yang akan datang,"kata Kim Swee.
Di samping itu, Kim Swee juga berkongsi sudah pun merangka pelan seterusnya jika empat pemainnya yang berkhidmat dalam skuad kebangsaan menghadapi sebarang kecederaan.
"Walaupun mereka bersama pasukan kebangsaan, adakah mereka bermain secara kerap dan mempunyai minit permainan.
"Apa yang dirisaukan adalah kecederaan, kita tidak boleh menentukan sama ada kecederaan akan berlaku ketika ini atau pada bila-bila masa.
"Jika berlaku kecderaan teruk, saya percaya para pemain lain mampu menggalaskan tugas,"katanya.
Must-Watch Video