Piala AFC: Kim Swee harap isu perpindahan tak kacau fokus Sabah FC
Shaiful Shamsudin
Disember 13, 2023 12:53 MYT
Disember 13, 2023 12:53 MYT
Datuk Ong Kim Swee berharap tonggak Sabah FC tidak terganggu dengan tawaran-tawaran luar sambil memberi amaran mereka masih mempunyai misi untuk diberikan tumpuan.
Pengendali itu telah mempersiapkan anak buahnya untuk mengharungi perlawanan getir yang mampu memnentukan nasib mereka ke separuh akhir Piala AFC.
"Kebanyakan pemain masih mempunyaki kontrak bersama Sabah FC hingga penghujung 2024.
"Kalau ura-ura itu datang daripada media sosial, sudah tentu kami tidak boleh percayakannya.
"Kalau ada pun berlaku, saya harap ia dapat dilakukan secara profesional sebagaimana hujung musim ini, pancing memancing biasa berlaku.
"Tapi dengan adanya perlawanan penting terutama esok dan perlawanan liga, saya tidak ingin pemain saya diganggu.
"Dengan pengurusan yang baru, sudah tentu akan ada perubahan dan dalam masa sama berbelanja mengikut kemampuan.
"Selepas dua perlawanan ini, saya akan berbincang dengan pengurusan tertinggi pasukan. Kami harus terima segala dana yang diberikan dan apa yang harus dilakukan pada musim depan.
"Saya percaya pemain tahu keperluan Sabah FC demi kebaikan bola sepak di sini," katanya sambil berseloroh bahawa ketua pasukan, Park Tae-soo, masih kontrak selama tiga tahun lagi.
Pemain import kelahiran Korea Selatan itu turut menyuarakan kepentingan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada dua baki perlawanan terakhir tahun ini.
"Perlawanan terakhir ini penting buat kami untuk merebut tempat ketiga liga.
"Jadi esok kami mahu kekalkan momentum," katanya pula.
Kredit gambar: Sabah FC