Skip to main content

Bola Sepak

Piala AFC: Kedah bergaya atasi Kaya FC

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kedah-darul-aman.jpg
Kedah Darul Aman (KDA) menampilkan aksi berkualiti sekaligus menghidupkan peluang melangkah peringkat kalah mati saingan Piala AFC selepas mengatasi Kaya FC 4-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia, sebentar tadi.

KDA yang memerlukan tiga mata bagi mengelak daripada penyingkiran awal terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk mendapat gol pertama menerusi Fayadh Zulkifli yang menyempurnakan hantaran Ronald Ngah pada minit ke-57.

Gol pembukaan itu ternyata membangkitkan semangat skuad yang dipimpin Aidil Sharin Sahak apabila mereka berjaya menambah jaringan kedua menerusi Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-63, juga hasil bantuan jaringan Ronald Ngah.

Import kelahiran Cameroon itu kemudian berjaya mengukuhkan kedudukan buat KDA apabila meledak gol ketiga pada minit ke-82 sebelum Javier Gayoso berjaya mendapatkan gol pertama kelab dari Filipina itu, empat minit kemudian.

Fayadh mengesahkan kemenangan bergaya KDA apabila menyumbang gol keempat pasukannya pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan KDA naik ke tangga ketiga Kumpulan G, berkongsi tiga mata dengan pasukan tangga kedua, Bali United yang tewas 5-2 di tangan Visakha, petang tadi.

Wakil Kemboja, Visakha yang memenangi semua dua perlawanan berada di kedudukan teratas dengan enam mata, sementara Kaya Iloilo pula menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Advertisement

Must Watch Video