KEDAH DARUL AMAN 5 VISAKHA 1

Kedah Darul Aman FC melangkah ke separuh akhir Zon ASEAN, Piala AFC dengan penuh bergaya selepas membelasah kelab Kemboja, Visakha FC, 5-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali sebentar tadi.

Kedatangan penyerang import baru dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi, ternyata memberikan impak segera buat Lang merah apabila menjaringkan hatrik, masing-masing pada minit ke 28, 45+2 dan 54.

Visakha terlebih dahulu berada di depan apabila Mohammed Faeez Khan menanduk masuk bola sepakan percuma Teath Kimheng pada minit ke-20.

Bagaimanapun, hanya lapan minit diperlukan Mahmoud untuk menyamakan kedudukan dengan menyudahkan bola lambungan Dechi Marcel N'Guessan.

Pemain kebangsaan Jordan itu kemudian memastikan Kedah berada di depan sebelum ke bilik persalinan, kali ini menerusi sepakan percuma jarak jauhnya yang tepat menuju ke penjuru kiri bawah gawang lawan.

Sembilan minit selepas perlawanan bersambung, Fayadh Zulkifli melakukan larian licik dari sebelah kanan sebelum hantaran 'cutback' menemui Mahmoud untuk membenarkan pemain import itu menjaringkan hatrik pertamanya di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak.

Fayadh turut berhasil menempa namanya selaku penjaring pada minit ke-67, sebelum Ronald Ngah Wanja melengkapkan malam penuh gemilang buat Hijau Kuning pada minit ke-76.

Kemenangan besar itu turut menyaksikan Kedah menghapuskan kelebihan empat jaringan milik Visakha untuk mara ke separuh akhir Zon ASEAN selaku juara Kumpulan G.

Wakil negara itu seterusnya akan bertemu juara Kumpulan H dari Indonesia, PSM Makassar, pada 9 Ogos depan.


*Kredit foto: Kedah Darul Aman FC