PIALA AFC
Piala AFC: Bojan Hodak lega pilihan tepat letak Kevin Mendoza benteng terakhir KL City
Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, lega apabila percaturannya meletakkan Kevin Mendoza sebagai penjaga gol membuahkan hasil membawa The City Boys ke final Piala AFC semalam.
KL City mengesahkan tempat dalam final selepas menewaskan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh, 5-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas waktu sebenar perlawanan final antara zon di Stadium Sogdiana itu berakhir tanpa jaringan.
Mendoza muncul penyelamat KL City menerusi beberapa aksi tangkasnya di depan gawang, termasuk menyelamatkan satu sepakan penalti lawan untuk membawa skuad Warga Kota itu ke final.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Hodak berkata: "Semua orang gembira pagi ini, sudah pasti ia beremosi kerana ini adalah pencapaian terbesar kelab ini buat setakat ini.
"Ramai orang membandingkan pencapaian kami dalam Piala Malaysia (muncul juara tahun lalu) tetapi anda tidak boleh membandingkannya kerana Piala Malaysia adalah kejohanan tempatan dan ini adalah kejohanan seluruh Asia, jadi ia sememangnya istimewa.
"Tentang taktikal saya memilih Kevin, Azri (Abdul Ghani) telah melakukan tugasnya dengan baik tetapi dalam perlawanan kali ini, lawan bermain dengan banyak lintangan dan kontak fizikal dengan banyak perebutan bola tinggi.
"Saya katakan mungkin Kevin akan menjadi individu penting dalam kawasan penalti dan pada akhirnya, walaupun saya ada memikirkan untuk memasukan Azri sebelum sepakan penalti kerana dia pernah menyelamatkan tiga atau empat kali, saya tetap menggunakan Kevin.
"Ia hanya berdasarkan naluri saya sebelum penentuan itu dan dia melakukan satu aksi menyelamat yang membawa kami ke final," katanya.
KL City akan menamatkan saingan Piala AFC musim ini dengan bertemu kelab Oman, Al Seeb, dalam aksi final di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober ini.
*Kredit foto: Kuala Lumpur City FC