BOLA SEPAK
Piala AFC: Aidil Sharin tuntut motivasi tinggi barisan Kedah Darul Aman hadapi Bali United
Kedah Darul Aman memantapkan pasukan dengan kehadiran beberapa pemain baru bagi menghadapi tugasan Piala AFC bermula Jumaat depan.
Jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, menjelaskan beberapa pemain telah dikenal pasti untuk diserapkan dalam pasukan termasuk menyambar Akmal Zahir.
Pertahanan tengah berusia 28 tahun itu direkrut daripada Melaka United dan akan menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya buat kali pertama.
Iklan
Bekas pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr, turut disambar Kedah untuk memperkuatkan jentera tengah.
"Alhamdulilah semuanya berjalan lancar, Akmal merupakan anak jati Kedah cuma belum pernah beraksi untuk pasukan sejak memulakan karier profesional," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, dua orang pemain muda 20 tahun daripada skuad Piala Presiden turut diserap ke pasukan utama untuk Piala AFC dan Liga Super iaitu Aiman Farhan Fauzi dan Hafiz Izzudin Azhar.
Ditanya mengenai kempen Piala AFC dalam kunjungan ke Bali, Aidil Sharin berkata ia adalah tugas sukar untuk juara dua kali Liga Indonesia, Bali United, disusuli bertemu Kaya FC dari Filipina dan Visakha dari Kemboja.
"Kami menghormati Bali, mereka adalah tuan rumah selain mempunyai penyokong tegar.
"Kami perlu bermotivasi untuk berdepan pasukan mantap.
"Kami perlu berada di kemuncak prestasi untuk mempamerkan persembahan di tahap tinggi," katanya.
Must-Watch Video