PFAM: Pemain-kelab perlu ada kesedaran kontrak
Shaiful Shamsudin
Mac 20, 2024 18:53 MYT
Mac 20, 2024 18:53 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, menggesa semua pihak terlibat dalam penawaran dan penerimaan kontrak agar menghormati institusi perundangan bola sepak supaya isu pelanggaran kontrak dapat dinoktahkan.
"Apabila semua pihak faham isi dan kesan kontrak yang ditandatangi, ia sudah cukup untuk mempersiapkan semua pihak menghadapi musim depan. Ini agar kita boleh tahu bila gaji perlu dibayar dan perkara yang akan berlaku sekiranya tidak dibayar.
"Apabila semua orang faham bahawa kita ada undang-undang yang meliputi isu kontrak, ia sudah sudah memadai untuk Liga Malaysia tanpa isu gaji yang sangat mengganggu bola sepak Malaysia selama ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Izham yang ditemui dalam satu majlis Rumah Titian Kaseh juga berpandangan bahawa isu tunggakan gaji bukanlah satu perkara baru dalam saingan liga domestik dan tidak menolak kemungkinan isu ini akan berlarutan.
"Ia sentiasa berlaku dan kami sentiasa bersedia dengan isu ini.
"Itulah gunanya kesedaran. Saya menyeru semua pihak agar lebih cakna dengan kontrak yang ditandatangi agar tiada masalah pada kemudian hari," katanya.