ACLE
Petronas LTdL 2024: Matteo Mallucelli langkah kanan, Aiman Rosli pertahan Jersi Putih
Peringkat kedua Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 menampilkan skrip sama seperti peringkat pertama apabila peloton terbahagi kepada dua di awal perlumbaan dan pecahan awal juga terjadi dengan tujuh pelumba mengetuai perlumbaan dari kilometer pertama lagi.
Ng Pak Hang daripada pasukan HKSI Pro Cycling berjaya menjadi pendahulu di zon pecutan Jitra diikuti pemegang Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia, Nur Aiman Rosli, daripada Terengganu Cycling Team (TSG).
Bergerak ke zon pecutan kedua, kebanggaan buat pasukan negara apabila Yusri Shaari berhasil untuk muncul yang terbaik di Alor Setar di mana Aiman juga berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua.
Iklan
Namun Pak Hang tampil lebih agresif apabila unggul di zon pecutan terakhir di Sungai Petani diikuti pelumba negara, Azim Alyas dan juga juara kebangsaan, Amirul Mazuki dari TSG.
Namun, memasuki satu kilometer terakhir, keadaan huru-hara apabila berlaku kemalangan di saat akhir yang melibatkan sekumpulan besar pelumba.
Dan kesempatan itu diambil pelumba JCL Ukyo Cycling, Matteo Mallucelli, untuk terlebih dahulu melepasi garisan penamat sekaligus muncul pemenang peringkat kedua.
"Ini adalah kali kedua saya di Malaysia dan LTdL terakhir saya pada pada 2018, kemenangan ini adalah kali pertama saya di saingan ini . Saya gembira kerana ini adalah permulaan baik untuk saya," katanya.
Dalam pada itu, Nur Aiman Rosli, mengekalkan jersi putih yang diraihnya di pusingan satu selepas cemerlang di zon pecutan pertama dan kedua untuk mendapatkan bonus masa.
Namun kejayaannya itu diselubungi insiden kemalangan di penghujung perlumbaan dan Aiman disifatkan tuah menyebelahi dirinya apabila dia sekadar cedera ringan dan mampu teruskan perlumbaan pada Selasa.
"Pada permulaan saya hanya kekal di ploton kerana ingin rehat, pada saat akhir saya cuba berikan saingan.
"Saya tidak begitu gembira kerana sudah jatuh, jadi saya ingin siap sediakan fizikal saya untuk esok kerana peringkat ketiga adalah peringkat yang semua orang nantikan." katanya.
Must-Watch Video