Peter puas hati pemilihan KDMM FC

Shaiful Shamsudin
Disember 22, 2016 13:15 MYT
Presiden Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) FC, Datuk Peter Anthony, berpuas hati dengan sesi ujian pemilihan yang dijalankan kelab berkenaan di beberapa daerah sebelum ini.
Dengan pemilihan telah pun melepasi fasa akhir, beliau turut gembira dengan kehadiran serta kualiti pemain yang menyertainya.
Presiden kelab KDMM FC, Datuk Peter Anthony, gembira dengan kehadiran dan kualiti pemain yang telah menyertai ujian pemilihan kelab itu.
"Kami telah memberi peluang dengan mengadakan pemilihan di pedalaman termasuk di Keningau dan Kota Marudu sebelum di Kota Kinabalu.
"Memang ramai pemain berpotensi. Malahan, ramai juga yang berpengalaman kerana ujian pemilihan yang telah kami adakan turut disertai bekas pemain junior dan senior Sabah serta kelab DYS FC (kelab dari Sabah yang turut bersaing di Piala FAM tahun ini)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyaksikan fasa akhir pemilihan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.
Pemilihan itu membabitkan lebih 40 pemain yang telah dikenalpasti hasil daripada beberapa ujian pemilihan sebelum ini.
"Dari apa yang saya lihat, saya boleh bayangkan skuad KDMM FC musim depan akan lebih mantang. Sekarang ini kami hanya perlu memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik.
"Daripada lebih 40 pemain yang menjalani fasa akhir pemilihan ini, kami akan tapis dan hanya akan memanggil 30 pemain untuk menjalani latihan pusat.
"Mereka yang terpilih akan dimaklumkan sebelum tahun baru," katanya.
Dalam pada itu, Peter juga membayangkan kemungkinan hanya separuh dari pemainnya tahun ini dapat mengekalkan tempat.
Selain akan bermain buat musim kedua dalam saingan liga Piala FAM, KDMM FC juga layak untuk bersaing buat julung kalinya dalam saingan Piala FA tahun depan.
"Apapun kita akan buat persiapan sebaik mungkin dengan pemain-pemain tempatan, saya fikir kami akan bersedia sepenuhnya apabila saingan Piala FA dan liga bermula pada penghujung Januari atau awal Februari.
"Venue kami sebagai tuan rumah saingan liga masih kekal di stadium Keningau, tetapi untuk saingan Piala FA, venue kami adalah di Stadium Likas," katanya.
;