Pestabola Merdeka: Sorakan penyokong mampu hadirkan gerun kepada lawan, kata Paulo Josue

Shaiful Shamsudin
September 5, 2024 19:14 MYT
Pertemuan dengan Filipina mencapai angka 15,000 orang, namun jumlah itu dijangka lebih besar sekiranya tidak berlaku isu boikot oleh sesetengah peminat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Apa pun, barisan pemain negara mengenepikan isu luar padang menerusi kejayaan dalam pertemuan sengit menentang The Azkals walaupun rata-ratanya masih menyesuaikan diri dengan falsafah berbeza daripada Pau Marti Vicente ketika membuka kempen Pestabola Merdeka 2024 dengan kemenangan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
"Lebih seronok melihat kehadiran penyokong berbanding hari ini.
"Peminat berhak untuk tentukan datang atau tidak. Tapi alangkah bagusnya jika mereka datang berikan sokongan.
"Kalau boleh kami ingin tunjukkan pihak lawan betapa padunya sokongan peminat di sini apabila datang, dengan nyanyian mereka.
"Mereka dialu-alukan untuk hadir dan jika tidak, terpulang kepada mereka," kata tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue, selepas perlawanan.
Seorang lagi pemain naturalisasi, Romel Morales, pula percaya mereka perlu mengadakan mengadakan persiapan lebih rapi.
"Kemenangan ini menyuntik motivasi kami untuk hadapi perlawanan seterusnya," katanya.
Daniel Ting menganggap tiada jalan mudah untuk mereka merampas gelaran yang kali terakir dimenangi 10 tahun lalu.
"Benteng kami agak kental malah kami menguasai bola dengan baik.
"Aksi berdepan Lubnannya pastinya menjadi lebih sukar, lebih fizikal jadi kami perlu bersedia," kata pertahanan negara.
;