Pestabola Merdeka: Setiap pasukan kebangsaan layak terima sokongan terbaik dari penyokong -- Pau Marti

Muzaffar Musa
September 3, 2024 13:31 MYT
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente, berkata setiap pasukan kebangsaan layak menerima sokongan terbaik daripada penyokongnya menjelang aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Menyedari gerakan boikot yang sedang dijalankan sesetengah penyokong Harimau Malaya, pengendali itu berharap setiap penyokong akan kekal berada di belakang skuad kebangsaan tanpa mengira di mana mereka berada.
"Kami menyedari situasi itu dan ia tidak ideal buat pasukan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
"Saya fikir setiap pasukan kebangsaan layak menerima sokongan terbaik daripada penyokong mereka.
"Seperti yang dikatakan sebelum ini, kami hanya dapat mengawal apa yang berlaku di atas padang dan setiap pemain akan mencuba memberikan yang terbaik, bermain dengan sebaik mungkin untuk memberikan 100 peratus.
"Harap-harap kami akan mendapatkan keputusan yang baik dan apa jua yang berlaku di luar padang, kami harap semua yang menyokong kami dan mahu datang, akan datang ke perlawanan esok.
"Dan buat mereka yang rasakan mereka masih mahu menyokong skuad kebangsaan, saya harap mereka akan menontonnya di rumah dan menikmati perlawanan ini," katanya.
#bola sepak #Harimau Malaya #Pestabola Merdeka #Pau Marti Vicente
;