Pestabola Merdeka: Perkara paling istimewa buat Malaysia ialah penyokong, saya hormat pendirian mereka untuk boikot -- Syamer
Muzaffar Musa
September 3, 2024 14:14 MYT
September 3, 2024 14:14 MYT
Pemain tengah skuad negara, Syamer Kutty Abba, berasakan kelebihan buat pasukan Malaysia, terutama di Stadium Bukit Jalil, adalah kehadiran penyokong Harimau Malaya.
Menjelang aksi pertama Pestabola Merdeka menentang Filipina di venue itu malam esok, Syamer menghormati pendirian sesetengah penyokong yang memilih untuk memboikot kejohanan itu tetapi berharap mereka akan tetap menyokong tanpa mengira di mana mereka berada.
Syamer turut berharap jika skuad kebangsaan dapat mempamerkan aksi terbaik malam esok, penyokong dapat kembali menghadirkan diri ke stadium dalam aksi final hujung minggu ini.
"Saya fikir perkara paling istimewa buat Malaysia ialah penyokong dan perkara paling istimewa di Bukit Jalil ialah penyokong yang memenuhi stadium," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
"Dan kami monghormati jika mereka mahu boikot, ia berada di luar kawalan kami. Apa yang kami boleh kawal ialah prestasi kami di atas padang.
"Kami akan mencuba untuk memberikan sesuatu untuk penyokong kembali percaya dan datang ke stadium -- mungkin bukan untuk perlawanan pertama, mungkin datang dalam perlawanan kedua untuk memberikan sokongan.
"Apabila kami memenangi perlawanan pertama, mungkin mereka boleh datang dalam perlawanan kedua untuk menunjukkan yang kita melalui segalanyan bersama-sama dan tidak boleh dipisahkan.
"Secara peribadi, ia sesuatu yang menyedihkan saya tetapi ia di luar kawalan saya," katanya.