Skip to main content

Bola Sepak

Pestabola Merdeka: Peluang cerah Harimau Malaya julang kejuaraan -- Azraai

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

harimau-malaya.jpg
Harimau Malaya berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka 2023 apabila membuat perhitungan dengan Tajikistan dalam aksi aksi final di venue keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Malah, ia juga menjadi pentas terbaik buat anak buah Kim Pan-gon itu untuk melunaskan dendam ke atas pasukan yang menghuni ranking ke-110 dunia itu selepas dikecewakan dalam aksi final Piala Raja Thai di Chiang Mai, September tahun lalu.

Justeru, jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, mengingatkan Harimau Malaya agar memanfaatkan peluang yang ada itu bagi merangkul piala berprestij berkenaan di hadapan penyokong sendiri.

“Ia juga menjadi peluang terbaik buat Pan-gon meraih trofi pertama bersama Harimau Malaya. Skuad terbaik yang dimilikinya juga mampu memberikan kelebihan dan peluang cerah untuk melakar kejayaan.

“Malah, motivasi pemain juga berada pada tahap terbaik selepas menang ke atas India Jumaat lalu. ‘Ekor Harimau’ (penyokong) turut memberi sokongan padu yang tak berbelah bahagi untuk menyuntik semangat pemain,” katanya.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-134 dunia, mara ke final setelah menundukkan India 4-2 dalam aksi yang mengundang bualan ramai apabila padang di Stadium Nasional Bukit Jalil mengalami kerosakan susulan rumput yang ditanam belum cukup matang.

Mengulas perkara itu, Mohd Azraai berharap barisan pemain Harimau Malaya dapat memberikan fokus kepada permainan berbanding memikirkan soal padang.

“Biarpun situasi itu memalukan dan menjejaskan imej negara, tumpuan pemain kepada permainan adalah lebih penting dalam misi Malaysia memburu trofi,” ujarnya.

Menyentuh kemungkinan taktikal yang bakal digunakan Pan-gon dalam aksi penting tersebut, dia percaya pengendali Harimau Malaya itu sudah pasti mempunyai strategi tersendiri untuk memerangkap pasukan lawan.

“Kelebihan dua pemain pertahanan, Matthew Davies dan Corbin Ong, dijangka dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pan-gon untuk membantu jentera depan bagi mengasak kubu lawan.

“Mereka adalah pemain berkualiti dan mempunyai kelebihan membuat hantaran yang baik kepada rakan-rakan di bahagian serangan untuk memburu gol,” jelasnya.

-- Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video