Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mengekalkan seramai 21 daripada 25 pemain yang beraksi dalam aksi antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China di Chengdu, China bagi menyertai kem latihan menjelang saingan Pestabola Merdeka 2023.

Menjelang saingan yang bakal membuka tirai 13 Oktober hingga 17 Oktober ini, Pan-gon hamper mengekalkan barisan pemain yang hampir sama bagi menghadapi perlawanan yang dijadualkan bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Baki empat pemain lain terdiri daripada tiga pemain skuad B-23 kebangsaan yang beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand pada September 2023 iaitu Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine serta seorang pemain baharu iaitu penjaga gol, Suhaimi Husin.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 menentang India pada Jumaat, 13 Oktober 2023 dan seterusnya akan berdepan sama ada Palestin atau Tajikistan pada aksi final atau penentuan tempat ketiga pada Selasa, 17 Oktober 2023.