Pestabola Merdeka 2024: Pau Marti puas hati senarai pemain dipanggil

Muzaffar Musa
Ogos 29, 2024 22:21 MYT
Ketua jurulatih skuad kebangsaaan, Pau Marti Vicente, berpuas hati dengan senarai pemain yang dipanggilnya bagi saingan Pestabola Merdeka bermula minggu depan.
Dia yang mengambil alih tampuk kempipinan Kim Pan-gon selepas bertindak sebagai pembantu kepada jurulatih itu sebelum ini, menyasarkan kemenangan ke atas Filipina dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu depan.
Seandainya menang, Harimau Malaya akan berdepan pemenang di antara Lubnan dan Tajikistan bagi merebut trofi berkenaan.
"Saya amat-amat gembira. Saya sudah lama menantikan hari ini untuk bertemu semua pemain," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.
"Semua pemain sudah berada di sini dan bersedia untuk memulakan kejohanan. Sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, adalah normal untuk mendapatkan masa yang panjang sebagai persediaan tetapi apa yang dimahukan semua jurulatih adalah untuk berada di atas padang untuk berlatih bersama pemain dan berada bersama mereka dalam perlawaanan.
"Semua pemain sudah berada di sini kecuali Dion Cools, yang masih ada perlawanan di Thailand," katanya.
#bola sepak #Harimau Malaya #pau marti #Pestabola Merdeka 2024
;