Lubnan melangkah ke final Pestabola Merdeka 2024 selepas menyingkirkan juara bertahan, Tajikistan sebentar tadi.

Pasukan yang diberi jolokan The Cedars menjadikan perlawanan yang berlangsung di sebelah petang sebagai peluang membalas dendam susulan mereka tewas kepada The Crowns di Piala Asia 2023.

Sementara Tajikistan yang bersama pengendali baru, Gela Shekiladze, tekad meletak misi ke final sekaligus dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edisi 2023.

Separuh masa pertama menyaksikan The Crowns berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi penyerang muda FC Atyrau, Fatkhullo Olimzoda.

Ini memaksa barisan pertahanan Lubnan diketuai kapten, Kassem El Zein bekerja keras menafikan asakan pasukan dari Asia Tengah itu.

Bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rabih Ataya hampir meletakkan The Cedars di hadapan pada minit ketujuh. Malangnya, kesilapan beliau semasa menyepak bola mengakibatkan bola mudah ditangkap penjaga gol Tajikistan, Dalerjon Barotov.

Kem Lubnan yang dipimpin Miodrag Radulovic ceria apabila pemain tengah Safa, Jihad Ayoub meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-13.

Tajikistan terus melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan Lubnan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Penyerang Vancouver FC, Gabriel Bitar hampir menggandakan kelebihan Lubnan pada minit ke-88. Malangnya, percubaan derasnya dari luar kotak penalti hanya melalui bahagian tepi gol.

Tajikistan berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi Lubnan kental mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan mereka layak ke final.