KAWASAKI 5 JDT 0

Empat gol dalam separuh masa kedua menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdaya untuk mengekang kemenangan Kawasaki Frontale, sekali gus menutup ruang kemaraan mereka dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), sebentar tadi.


JDT ketinggalan awal dalam pertemuan di Stadium Kawasaki Todoroki selepas Kawasaki Frontale dibiarkan bertukar-tukar hantaran di kawasan kotak penalti.

JDT dihukum oleh jaringan Akihiro Ienaga yang tidak dikawal untuk menyudahkan peluang di penjuru kiri pintu gol pelawat pada minit ke-8.

Harimau Selatan tampak bergelut untuk mengatur serangan berikutan percaturan kemas anak buah Toru Oniki yang menyaksikan satu lagi percubaan mereka terkena tiang dan palang.

Namun, jurang permainan itu mula mengecil tetapi jentera serangan pelawat belum benar-benar dapat menguji pintu gol lawan.

Ketika jaguh Liga Super itu mula mencaturkan asakan, gol kedua daripada tampanan Leandro Damiao selepas 5 minit permainan bersambung semula disusuli dua gol dalam tempoh 10 minit oleh Marcinho dan Yu Kobayashi.




Ketiga-tiga jaringan ini dicetak menerusi penyudah di depan pintu gol.

Miki Yamane kemudian menyudahkan satu lagi gerakan menarik menerusi rembatan kencang pada minit ke-88, dan menutup peluang JDT untuk melolosi Kumpulan I menjelang akhir terakhir bertemu BG Pathum berikutan kemenangan Ulsan Hyundai ke atas kelab Thailand berkenaan.