Persahabatan Antarabangsa: Sergio Ageuro enggan pandang tinggi kemampuan lawan
Muzaffar Musa
Ogos 30, 2023 20:36 MYT
Ogos 30, 2023 20:36 MYT
Penyerang naturalisasi negara, Sergio Aguero, enggan terlalu memandang tinggi pasukan lawan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa tier 1 awal bulan depan.
Tonggak skuad negara dalam Piala AFF tahun lalu itu berasakan skuad negara ketika ini juga sedang melalui fasa perubahan positif dari semasa ke semasa.
Harimau Malaya kini dalam rangka persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa tier 1 berdepan Syria dan China di Chengdu, China, masing-masing pada 6 dan 9 September ini.
"Saya rasa pasukan ini sudah banyak berkembang dari tahun ke tahun," katanya kepada Astro Arena.
"Saya terlepas perlawanan sebelum ini kerana kecederaan tetapi kini, saya sudah berlatih secara normal bersama pasukan dan saya boleh buktikan kepada jurulatih bahawa saya sudah bersedia untuk memperkuatkan skuad kebangsaan," katanya.
Dua perlawanan antarabangsa kali ini adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Asia di Qatar awal tahun depan.
Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan E saingan Piala Asia bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.