Persahabatan antarabangsa: Peluang terbaik Harimau Malaya mengaum

Sinar Harian
Ogos 12, 2023 18:02 MYT
Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengutamakan lawan yang lebih kuat dalam aksi persahabatan akan datang adalah langkah yang bijak.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata Harimau Malaya akan menjadi lebih matang apabila bertemu pasukan yang kuat, terutama dalam menilai setiap kelemahan dan kekurangan.
Menurutnya, aksi persahabatan menentang lawan yang berada di ranking bawah 100 dunia juga dapat membantu misi FAM untuk melonjakkan Harimau Malaya mendaki tangga pasukan terbaik Asia.
“Tahap Harimau Malaya sudah berbeza berbanding sebelum ini. Selalunya kita lawan dengan pasukan lemah dan kita boleh menang, jadi bagi saya kita sudah mengalami peningkatan yang sangat ketara.
“Apabila FAM buat keputusan untuk cari lawan yang lebih kuat, ia satu langkah yang sangat baik kerana kita bukan hanya nak kejar kemenangan tetapi untuk mencari pendedahan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, memaklumkan Harimau Malaya akan mula berdepan lawan yang lebih kuat dalam aksi persahabatan untuk memastikan misi berada di tangga ke-15 Asia direalisasikan.
Malah, FAM tidak memandang ke belakang apabila mengatur aksi persahabatan dengan pasukan di ranking bawah 100 dunia, di mana Harimau Malaya akan bertemu China dan Syria pada September ini.
Berdasarkan kemas kini ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), China menduduki tangga ke-80, Syria (94), manakala Malaysia berada di kedudukan ke-136.
Pada Oktober depan, skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan mengharungi Pestabola Merdeka 2023 yang turut menampilkan tiga lagi pasukan. iaitu India (ranking ke-99), Lubnan (100) dan Pakistan (201).
Selepas itu, Malaysia akan memulakan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan dengan menentang Oman (ranking ke-73), Kyrgyzstan (97), selain pemenang antara Taiwan (153) atau Timor Leste (192).
Malah, Harimau Malaya turut mendapat pengalaman berguna apabila bertemu pasukan berstatus ‘Piala Dunia’, Arab Saudi (ranking ke-54) dan Oman (73) sebelum mereka mengharungi kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Dalam pada itu, Wan Jamak meminta seluruh peminat bola sepak negara lebih terbuka sekiranya Harimau Malaya gagal meraih keputusan yang diharapkan.
“Kalau boleh menang, saya tahu kita mampu bersaing. Di bawah bimbingan Pan-gon, beliau telah mengamalkan pendekatan yang bijak, pemain-pemain juga selesa dengannya.
“Apa yang dimahukannya diterjemahkan dengan baik oleh pemain. Saya percaya kita mampu menghadirkan keputusan positif menentang lawan lebih kuat,” ujarnya.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Harimau Malaya #Persahabatan Antarabangsa
;