JERMAN 1 JEPUN 4
Jepun sekali lagi membuktikan bahawa mereka pasukan yang lebih baik berbanding gergasi Eropah, Jerman, apabila membelasah tuan rumah Euro 2024 itu 4-1 dalam aksi persahabatan di Wolfsburg awal pagi tadi.
Pasukan Samurai Biru itu menyingkirkan Jerman dengan kemenangan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar tahun lalu dan kali ini, mereka membuktika ia bukan sekadar kemenangan nasib dengan menjaringkan dua gol dalam setiap separuh masa di Arena Volkswagen.
Junya Ito meletakkan Jepun di depan seawal minit ke-11 tetapi Leroy Sane kembali menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-19.
Bagaimanapun, kelegaan Jerman hanya bertahan selama tiga minit apabila Ayasa Ueda memastikan pasukan gergasi Asia, Jepun, kembali memimpin permainan menerusi jaringannya pada minit ke-22.
Pergelutan Jerman dalam mencari gol penyamaan kemudian dimaanfaatkan Jepun untuk menambah dua lagi gol pada hujung permainan, yang disudahkan Takuma Asano dan Ao Tanaka, masing-masing pada minit ke-90 dan 92.
Kekalahan itu menjadikan masa depan Flick bersama Die Mannschaft terus dipertikaikan, sembilan bulan sebelum Kejohanan Eropah membuka tirai.
Muzaffar Musa
Sun Sep 10 2023