Persahabatan Antarabangsa: Indonesia tewas kali kedua kepada Libya

Muzaffar Musa
Januari 6, 2024 08:35 MYT
Indonesia tewas buat kali kedua berturut-turut kepada Libya dalam aksi persahabatan di Antalya, Turkiye malam tadi.
Selepas dibelasah 0-4 oleh lawan sama pada Selasa lalu, skuad Garuda itu kali ini tewas tipis 1-2 dalam aksi pemanas badan berkenaan sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala Asia di Qatar bermula 12 Januari ini.
Indonesia berada di depan seawal minit keenam menerusi penyudah pemain sayap, Yakob Sayuri, tetapi pendahuluan itu hanya bertahan selama tiga minit sebelum Osama Mukhtar Al Shremi kembali mengikat kedudukan buat Libya pada minit kesembilan.
Berselang 11 minit, Ahmed Ekrawa meletakkan Libya di depan dan walaupun Indonesia lebih banyak menguasai permainan dalam babak kedua, mereka gagal menemui penyudah yang dicari-cari, sekali gus akur dengan kekalahan tipis berkenaan.
Sebagai rekod, Indonesia berada dalam Kumpulan D saingan Piala Asia bersama Jepun, Iraq dan Vietnam.
#bola sepak #Indonesia #Persahabatan Antarabangsa #Piala Asia Qatar #Libya
;