Persahabatan Antarabangsa: Indonesia dibelasah Libya
Muzaffar Musa
Januari 3, 2024 11:56 MYT
Januari 3, 2024 11:56 MYT
Persiapan Indonesia menjelang saingan Piala Asia bulan ini kelihatan menerima tamparan apabila skuad Garuda itu dibelasah 0-4 oleh Libya dalam satu aksi persahabatan di Antalya, Turkiye malam tadi.
Indonesia dibolosi hanya satu gol dalam babak pertama menerusi gerakan Ahmed Ekrawa pada minit ke-25.
Bagaimanapun, tindakan ketua jurulatih, Shin Tae-yong, untuk menukar 10 pemain daripada kesebelasan utamanya menjelang babak kedua mengundang padah apabila mereka dibolosi tiga lagi gol.
Omar Al Khoja menggandakan kelebihan Libya pada minit ke-58 sebelum Nour Al Din dan Alaa Al Qajdar turut menemui sasaran, masing-masing pada minit ke-89 dan 92.
Sebagai rekod, skuad Garuda itu berada dalam Kumpulan D saingan Piala Asia bersama Jepun, Iraq dan Vietnam.