BOLA SEPAK
Persahabatan antarabangsa: Harimau Malaya tiada masalah atasi Maldives
MALAYSIA 3 MALDIVES 0
Skuad negara memperoleh motivasi terbaik menjelang saingan Piala AFF minggu depan apabila mudah menewaskan Maldives 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium KLFA Cheras, sebentar tadi.
Selepas menewaskan Kemboja 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat lalu, pasukan bimbingan Kim Pan-gon itu sekali lagi mempamerkan penguasaan permainan dan berhasil memperoleh jaringan pembukaan menerusi Darren Lok pada minit ke-25.
Iklan
Darren bertindak bijak mengikuti bola lambungan ketua pasukan, Safawi Rasid, sebelum memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk menewaskan penjaga gol, Hussain Shareef, pada minit ke-24, sekali gus memastikan skuad negara ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.
Seorang lagi kapten negara, Faisal Halim, yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Kemboja, kemudian menggandakan kelebihan Harimau Malaya pada minit ke-64 setelah menerima hantaran licik Darren sebelum melakukan kuisan mudah ke gawang lawan.
Malaysia selepas itu melakukan asakan bertali arus ke gawang Maldives tetapi lambungan lintang Nor Hakim Hassan sekadar singgah di palang gol manakala tandukan Lee Tuck pula menggegarkan tiang gawang Maldives.
Lee Tuck, bagaimanapun, memastikan dirinya menjaringkan dua gol daripada dua penampilan buat skuad kebangsaan apabila menyepak masuk lintangan Sergio Aguero pada minit ke-88.
Malaysia seterusnya akan membuka kempen Piala AFF dengan bertandang ke laman Myanmar pada Rabu depan sebelum menghadapi Laos, Vietnam dan Singapura bagi saingan Kumpulan B.
Must-Watch Video