Skip to main content

Bola Sepak

Perpindahan pemain bukan di tangan saya -- Pochettino

mauricio-pochettino_.jpg
Mauricio Pochettino sekali lagi menjelaskan dia tidak memiliki kawalan dalam urusan perpindahan Tottenham dan mencadangkan jawatannya di Spurs ditukar.

Pochettino, yang memimpin Spurs ke aksi final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, merupakan jurulatih pertama dalam tempoh dua tahun pertama bersama kelab berkenaan.

Tetapi apabila menandatangani tawaran baru pada 2016, peranannya bertukar kepada pengurus, termasuk dengan penglibatannya dalam perpindahan pemain.

Dia sering kali meluahkan kekecewaannya dalam aktiviti perpindahan Tottenham ke atas pengerusi kelab, Daniel Levy, yang memiliki kuasa untuk melakukan keputusan.

Lucas Moura merupakan satu-satunya pemain yang ditandatangani kelab itu pada 2018 sementara memecahkan rekod perpindahan apabila membawa masuk pemain tengah Lyon, Tanguy Ndombele.

Bekas pemain Lyon itu merupakan satu-satunya muka baru buat Spurs menjelang musim 2019-20 yang bakal bermula sementara pemain sayap Leeds United, Jack Clarke, kekal di Elland Road secara pinjaman sejak menyertai skuad bimbingan Pochettino itu.

Di sebalik kurang aktif dalam jendela perpindahan, Tottenham cemerlang dalam saingan Piala Audi apabila mengatasi Real Madrid 1-0 di Munich semalam di samping turut menewaskan juara Serie A, Juventus, dalam pramusim di Singapura.

Pochettino, bagaimanapun, sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan kekurangan pemain baru buat Spurs ketika kelab itu terus dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah Real Betis, Giovani Lo Celso.

"Saya perlu mengulangi apa yang telah saya katakan dalam beberapa sidang media yang lalu. Saya tidak ditugaskan dan tidak mengetahui mengenai situasi pemain-pemain saya. Saya hanya melatih dan cuba menghadirkan permainan terbaik mereka.

"Jual, beli, tandatangani kontrak, tidak tandatangani kontrak... saya berasakan perkara ini tidak berada dalam tangan saya, ia di tangan Levy. Buat masa ini, saya menguruskan pasukan dengan cara yang terbaik.

"Kelab perlu mengubah gelaran, tugas serta peranan saya, bukan? Tugas saya adalah melatih pasukan.

"Saya telah memberitahu anda (media) sebelum ini bahawa saya tidak ditugaskan mengenai situasi pemain. Ya, saya berhak untuk membuat keputusan daripada segi strategi pasukan, latihan, mentologi dan falsafah permainan tetapi terdapat bahagian yang saya tidak tahu.

"Sukar untuk bercakap mengenai perkara di luar bidang saya (mengenai perpindahan pemain)."

Spurs bakal bertemu juara Bundesliga, Bayern Munich, dalam aksi final Piala Audi hari ini, sementara jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris akan ditutup hujung minggu depan.

Advertisement

Must Watch Video