EPL

Pernah tergoda dengan tawaran, Rooney kongsi mengapa Alexander-Arnold perlu pindah ke Real Madrid

Stadium Astro
Najmi Iman
01/04/2025
06:10 MYT
Sponsor Banner
Pernah tergoda dengan tawaran, Rooney kongsi mengapa Alexander-Arnold perlu pindah ke Real Madrid
Bekas pemain kebangsaan England, Wayne Rooney, memahami situasi pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, untuk berpindah ke sebuah kelab terkemuka dunia menjelang musim hadapan.
Tonggak berusia 26 tahun itu sedang memikirkan masa depan yang tidak menentu apabila kontraknya akan berakhir dan difahamkan dia tidak akan menandatangani perjanjian baru bersama The Reds hujung musim ini.
Sekiranya perkara itu berlaku, Alexander-Arnold akan melengkapkan perpindahan secara percuma ke Los Blancos.
Dilema itu pernah dialami oleh bekas pemain Manchester United itu pada 2010 yang menunjukkan minat mahu bermain di Sepanyol.
Berkata kepada media antarabangsa, Rooney menjelaskan tarikan bermain untuk johan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sukar untuk ditolak oleh mana-mana pemain.
"Jika Trent Alexander-Arnold benar-benar menyertai Real Madrid pada musim panas ini, ia adalah satu perpindahan yang adil baginya.
"Saya pernah tergoda untuk ke Sepanyol sendiri.
"Jika dia meninggalkan Liverpool untuk mana-mana kelab lain, anda mungkin tertanya-tanya mengapa, tetapi, bercakap mengenai gergasi LaLiga itu, saya tidak fikir anda boleh mempersoalkannya sebagai langkah kerjaya.
“Real adalah kelab terbesar di dunia dengan sejarah yang luar biasa, jadi ia akan menjadi satu peluang besar dan saya faham jika dia rasa susah untuk menolak tawaran itu," katanya.
Pada 2010, Rooney hampir meninggalkan Old Trafford dan memilih Real Madrid atau Barcelona sebagai destinasi berikutnya.
“Apabila saya memberitahu Manchester United pada 2010 bahawa saya tidak mahu menandatangani perjanjian baharu dan mengemukakan permintaan perpindahan, tiga kelab datang kepada saya.
“Dalam kepala saya, saya sudah bersedia untuk pergi dan bermain di Sepanyol sambil mengakui beberapa siri perbincangan memang berlaku.
“Akhirnya saya memutuskan untuk kekal di United, tetapi Barcalona juga mempunyai pasukan yang luar biasa ketika itu dan mana-mana pemain pasti suka beraksi di sana.
“Real kini sama mempunyai bintang hebat seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Vinicius Jr, jadi sudah tentu ia pasti menarik minat Alexander-Arnold untuk bermain bersama mereka – sesiapa pun akan merasakan perkara yang sama.
"Dia telah berada di Liverpool selama hampir 20 tahun - sejak dia berusia enam tahun - tetapi realitinya adalah kebanyakan pemain berpindah pada satu ketika - itulah sebabnya terdapat begitu sedikit pemain yang sangat setia dengan satu kelab seperti Gary Neville dan Jamie Carragher," tambahnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video