Perlawanan Sumbangsih: Pertukaran, bayaran balik tiket bermula esok hingga Selasa
Mei 11, 2024 20:42 MYT
Pertukaran dan bayaran balik tiket perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia dan Perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC yang dibatalkan semalam boleh dibuat mulai esok hingga Selasa.
JDT menerusi Facebook Johor Southern Tigers memaklumkan, penyokong kelab bola sepak itu boleh memilih sama ada untuk membuat pertukaran tiket perlawanan atau bayaran balik melalui kaedah yang telah ditetapkan.
"Para penyokong JDT perlu melayari laman sesawang Ticket Hotline dan seterusnya log masuk kemudian pergi ke order history serta memilih option.
"Pilih perlawanan JDT vs Negeri Sembilan FC atau JDT vs Sri Pahang FC atau bayaran balik (para penyokong perlu mengisi borang maklumat),” katanya.
Menurut JDT, pertukaran tiket atau bayaran balik akan bermula pada 9 pagi Ahad dan ditutup 11.59 malam Selasa manakala penjualan tiket bagi perlawanan JDT menentang Negeri Sembilan bermula pada Rabu dan pemegang tiket mesti memilih sama ada untuk membuat pertukaran atau bayaran balik dalam tempoh ditetapkan, atau tiket tidak lagi boleh diguna pakai.
"Para penyokong mesti mengisi borang maklumat dengan betul untuk mendapatkan bayaran balik. Kelab dan Ticket Hotline tidak bertanggungjawab untuk kesilapan maklumat yang dimasukkan. JDT akan menanggung RM1 setiap caj transaksi untuk bayaran balik,” katanya.