LALIGA
Perez beri kemenangan buat Barcelona
VISSEL KOBE 0 BARCELONA 2
Pemain sayap muda, Carles Perez, menyumbat dua gol dalam babak kedua untuk menghadiahkan Barcelona kemenangan 2-0 ke atas Vissel Kobe dalam aksi persahabatan di Jepun, sebentar tadi.
Juara Sepanyol itu dipaksa bekerja keras selama hampir sejam sebelum pemain gantian, Perez, menghasilkan detik pemisah selepas saling bertukar hantaran dengan Malcom.
Gol kedua menyusul ketika permainan berbaki empat minit yang menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu melepaskan rembatan klinikal kaki kiri ke sudut kanan bawah pintu gol.
Ernesto Valverde mempertaruhkan Antoine Griezmann, Sergio Busquets dan Ivan Rakitic dalam kesebelasan utama tetapi hanya menurunkan Frenkie de Jong, yang membuat kemunculan pertama dalam 1-2 kepada Chelsea awal minggu ini, selepas 45 minit perlawanan.
Situasi itu menafikan peluang De Jong untuk bertembung dengan produk Blaugrana, Andres Iniesta, yang muncul antara tiga bekas anggota skuad itu yang sedang mewakili pasukan Liga J.
Iniesta, 35 tahun, berjaya menguji Marc-Andre ter Stegen, lima minit sebelum rehat dalam detik yang jarang dapat dilihat, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap barisan pertahanan gergasi LaLiga itu.
Riqui Puig dan Rakitic turut menghadirkan situasi bahaya tetapi terpaksa menunggu sehingga detik Perez tiba untuk skuad kendalian Valverde itu memecah kebuntuan.
Barca, yang sebelum sepak mula mengumumkan akan menjalinkan kerjasama formal dengan Vissel Kobe, akan berdepan Arsenal dalam aksi pemanas seterusnya, Ahad depan.