PIALA FA
Perak tiada pilihan lain
Perak mesti menang dengan kelebihan dua gol tanpa bolos untuk layak ke final Piala FA musim ini.
"Tiada pilihan kecuali menang. Oleh yang demikian, kami perlu bersatu dan bekerja keras dalam perlawanan penentuan malam esok," kata kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, mengulas perlawanan separuh akhir kedua di antara Perak dan Pahang di Stadium Perak, malam esok.
Menurutnya, Perak perlu meneruskan aksi bertenaga seperti dalam babak kedua perlawanan pertama di Kuantan, minggu lalu.
Iklan
"Jika itu mampu dilakukan, saya yakin kami berpeluang untuk mencatat kemenangan," katanya ketika ditemui dalam majlis tahlil, doa selamat bacaan yasin di kediaman pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, malam tadi.
Pertahanan kebangsaan itu juga berkata mereka tidak boleh mengulangi kesilapan dalam perlawanan pertama yang berkesudahan Tok Gajah menang 3-1.
"Memang kami mempunyai tugas yang amat berat kerana Pahang bukan calang-calang pasukan.
"Mereka adalah juara bertahan dan sudah tentu ingin mempertahankan gelaran.
"Bagaimanapun, kami juga mahu ke final dan akan cuba habis-habisan malam esok," ujarnya.
Shahrul mengakui tuan rumah menghadapi tugas berat, tambahan pula akan turun tanpa beberapa tonggak akibat penggantungan dan kecederaan.
"Siapa saja yang diberi tugas diharap mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan berkesan.
"Ini peluang terakhir buat kami. Setiap anggota pasukan dituntut agar memberi persembahan terbaik untuk merealisasikan impian ini," katanya.
Must-Watch Video



