PIALA FA
Perak optimis tundukkan PKNS
Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, optimis pasukannya mampu memadamkan kelebihan agregat yang dimiliki PKNS FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Jumaat ini.
Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan semangat dan 'angin' rata-rata pemain yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik selepas mencipta kemenangan 2-1 ke atas PNKP FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Batu Kawan, Ahad lalu.
"Kalau kami dapat kekalkan rentak kemenangan seperti mana sebelum ini, saya rasa tiada sebab untuk kami tewas.
"Kami sedar PKNS bukan calang-calang pasukan kerana memiliki pemain-pemain yang bagus, namun ia bukan alasan untuk kami tidak meneruskan kemaraan jika pemain mengikut arahan yang ditetapkan jurulatih," katanya hari ini.
Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, 7 April lalu, The Bos Gaurus tewas 1-2 kepada PKNS menerusi jaringan Faris Ramli dan Mohd Safee Sali manakala gol tunggal Perak disumbangkan Wander Luiz.
Mengulas mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang PKNS, Ahmad Shahrul berkata perkara itu tertakluk di bawah bidang kuasa pengendali pasukan, Mehmet Durakovic.
"Semuanya di bawah bidang kuasa beliau dan sehingga kini apa yang diberitahu kepada saya, semua pemain utama pasukan bebas daripada sebarang kecederaan," katanya.
Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berharap setiap pemain yang akan diturunkan nanti mempamerkan aksi penuh bertenaga bagi memburu slot ke separuh akhir.
"Apa yang penting adalah hasil daripada pemain itu sendiri dan kita rasa ini waktu terbaik untuk kita melangkah ke separuh akhir," katanya.
-- BERNAMA