LIGA PERDANA MSIA

Perak II belum mahu tekan butang panik

Tengku Danish Bahri 07/03/2020 | 04:13 MYT
Ketumpulan penyudah menjadi punca Perak II tumpas 0-2 kepada tuan rumah, Terengganu FC (TFC) II dalam aksi Liga Premier di Kuala Terengganu, malam tadi.
Menurut pengendalinya, Abu Bakar Fadzim, Perak II berjaya mengawal penguasaan bola sejak awal permainan namun dikecewakan ketangkasan penjaga gol lawan.
Malah ketiadaan seorang lagi penyerang import Korea Selatan yang sepatutnya digandingkan bersama Bruno Bezerra di bahagian serangan turut dirasai Perak II.
Abu Bakar, begitupun berkata dia tidak perlu panik dengan kekalahan kedua itu memandangkan pasukannya baru dibentuk dengan dibarisi 60 peratus muka baru.
"Dalam perlawanan pertama, kami hanya beraksi dengan dua pemain import dan malam ini (semalam) adalah penampilan sulung Bruno.
"Jadi saya harap kekuatan sebenar Perak II akan terserlah selepas pasukan ini lengkap nanti," jelasnya.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, Perak II pulang dengan tangan kosong selepas Bruno Suzuki dan Zuasyraf Zulkiefle meledak jaringan buat TFC II.
Mengulas lebih lanjut, Abu Bakar mengakui mereka terlalu leka menyerang dan kecuaian mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya membawa kepada gol pertama tuan rumah.
Walaupun menggandakan serangan dalam 45 minit kedua, Perak II gagal menembusi kubu TFC II sebaliknya gawang mereka bocor buat kali kedua di penghujung permainan.
"Kami cipta banyak peluang untuk jaringkan gol tetapi kredit kepada penjaga gol Terengganu yang bermain baik," kata Abu Bakar.
;