Perak FC sanggup tukar warna jersi kepada merah jambu
Muzaffar Musa
Mei 21, 2021 20:28 MYT
Mei 21, 2021 20:28 MYT
Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sanggup menukar warna jersi Perak FC ke merah jambu demi kebangkitan semula skuad Seladang itu.
Selepas dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji pemain, Perak dikhabarkan sedang mencari pemilik baru dan antara yang sedang hangat dikaitkan untuk mengisi posisi itu adalah usahawan kosmetik dan produk kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV).
Selain DSV, PAFA juga sedang berbincang dengan beberapa penaja lain yang berminat sambil berharap langkah itu dapat memberikan mereka sokongan kewangan yang konsisten sehingga penghujung musim ini.
Timbalan Presiden PAFA, Datuk Yadzan Mohammad, berkata kepada Nadi Arena: "Baru-baru ini saya mendapat tahu tentang Datuk Seri Vida memandangkan ia telah tular di Youtube dan sebagainya tetapi sehingga hari ini masih belum ada sebarang kertas kerja atau surat rasmi daripada DSV bahawa mereka mahu mengadakan perbincangan.
"Sekarang ini, kami juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat dan orang perseorangan yang mempunyai kelebihan kewangan dan mahu membantu kami tetapi masih belum ada jawapan konkrit.
"Dalam pakej kami, memang sudah jelas mengenai tangga gaji dan perkara-perkara lain yang perlu difikirkan mereka sehingga hujung musim ini. Untuk musim depan akan ada perbincangan lain.
"Menggunakan warna merah jambu tiada masalah tetapi tidak bolehlah hanya warna itu sahaja dan warna kuning hitam putih diketepikan, tidak bolehlah seperti itu.
"Mereka pilihlah satu warna, kalau jersi di laman lawan mahu warna lain tidak mengapa tetapi warna tradisi itu, kuning dan hitam, tidak pernah kami pinggirkan.
"Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang serius (untuk memiliki Perak FC)," katanya.