Pep Guardiola jangka Erling Haaland cergas hujung minggu ini
Fatin Ruzaiman
Disember 13, 2023 10:32 MYT
Disember 13, 2023 10:32 MYT
Erling Haaland bakal terlepas perlawanan terakhir kumpulan bagi Liga Juara-Juara (UCL) di Red Star Belgrade tetapi bersedia untuk kembali menjalani latihan Khamis ini, kata pengurus Pep Guardiola.
Pemain Norway prolifik itu terlepas perlawanan yang menyaksikan kemenangan Manchester City di Luton pada Ahad lalu kerana masalah kecederaan kaki dan tidak menyertai pasukan ke Serbia untuk baki aksi peringkat kumpulan itu.
Ia masih tidak jelas sama ada pemain berusia 23 tahun itu kembali cergas untuk perlawanan kunjungan Crystal Palace pada Sabtu, tetapi Guardiola tetap yakin Haaland mampu beraksi tidak lama lagi.
Pengurus City memberitahu pemberita pada sidang akhbar: “Saya fikir, dia akan kembali pada Khamis ini. Kita akan lihat bagaimana keadaannya.
"Saya tidak tahu sekarang (bila dia akan kembali) tetapi pada sidang media seterusnya saya boleh berikan keputusan lebih tepat."
City juga tanpa Jeremy Doku di Belgrade kerana masalah otot, manakala Kevin De Bruyne yang telah diketepikan sejak Ogos belum bersedia untuk menyertai semula skuad itu.
Penjaga gol, Ederson, juga tidak bermain dalam perlawanan itu, secara tidak langsung membuka peluang buat Stefan Ortega.