BOLA SEPAK

Penyokong antara faktor kebangkitan Sabah

Willie Jude 04/09/2018 | 06:31 MYT

Pengurus pasukan Sabah, Datuk Juil Nuatim, berkata kehadiran penyokong pasukan itu di setiap venue perlawanan antara faktor kebangkitan skuad Badak, musim ini.

Selain kerja keras pegawai, jurulatih serta pemain, katanya, pasukan itu sangat bertuah kerana mempunyai penyokong setia, sama ada ketika pasukan menang mahupun tewas.

"Di mana pun kami bermain, termasuk di gelanggang lawan, mereka (penyokong) tetap ada bersama kami dan ini juga antara faktor kebangkitan pasukan.

"Saya berterima kasih kepada semua penyokong dan saya harap mereka akan terus bersama kami," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Juil turut memuji persembahan anak buahnya kerana berjaya mengatasi PKNP FC kelmarin, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir serta menjadi juara Kumpulan D saingan Piala Malaysia.

Katanya, walaupun hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan itu bagi mengesahkan tempat ke suku akhir, skuad kendalian Jelius Ating itu dilihat masih 'dahagakan' kemenangan dan akhirnya berjaya melakukannya.

"Saya nampak semangat mereka berkobar-kobar untuk memenangi perlawanan itu (bertemu PKNP FC) walaupun sebenarnya tekanan bukan kepada kita dan syukur, semangat yang dibawa pemain ke dalam padang berjaya melayakkan kami (ke suku akhir) lebih awal," katanya.

Dalam perlawanan kelmarin, dua jaringan penyerang import Sabah, Rodoljub Paunovic dan Hector Omar Ramos menghancurkan harapan PKNP FC untuk terus menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.

Juil berkata kejayaan mereka itu juga sangat dibanggakan kerana kali terakhir Sabah melangkah ke suku akhir ialah pada 2011.

"Kami turut buktikan yang kami juga mampu bersaing dengan pasukan daripada Liga Super dan mungkin ramai yang tidak jangkakan pencapaian ini kerana kami satu-satunya pasukan daripada Liga Perdana dalam Kumpulan D," katanya.

;