Penundaan perlawanan: Ketetapan pengadil, komisar muktamad -- pemerhati

Muzaffar Musa
Oktober 8, 2024 15:11 MYT
Jika penundaan perlawanan disepakati demi keselamatan pemain dan bagi mengelakkan kecederaan, ia satu keputusan yang wajar.
Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, berkenaan perlawanan Liga Super di antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Ipoh, yang terpaksa ditunda buat kali kedua berikutan faktor cuaca dan keadaan padang, hujung minggu lalu.
Tambahnya, campur tangan daripada pasukan tidak akan dapat mendatangkan sebarang perubahan seandainya keputusan itu telah dimukmtamadkan oleh pengadil utama dan komisar perlawanan.
"Sudah tentu keputusan itu diambil atas sebab kebenaran daripada pengadil dan komisar perlawanan, yang akan menentukan padang berkenaan tidak boleh digunakan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Dengan kelulusan itu, barulah perlawanan sah tidak dapat diteruskan. Itulah perkara yang sebenarnya.
"Apabila pengadil utama dan komisar perlawanan sudah menetapkan perlawanan tidak boleh dijalankan, semua pihak perlu akur kerana keputusan memang di tangan mereka," katanya.
Mengulas lanjut, Azlan berasakan perubahan drastik dalam penswastaan pasukan akan mengambil masa untuk memenuhi keperluan sesebuah kelab memandangkan fasiliti ketika ini bukan sepenuhnya di bawah seliaan kelab.
"Penglibatan kelab persendirian di Malaysia masih baru dan terlalu muda, jadi untuk mereka berubah secara mendadak dan memiliki fasiliti 100 peratus pasti agak sukar.
"Semua pihak perlu bertoleransi dengan mereka dan kalau boleh, semua pihak perlu membantu," katanya lagi.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Perak FC #Azlan Johar
;