Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell, tidak menganggap pembubaran Skuad Projek FAM-MSN menjejaskan pembangunan bola sepak negara walaupun Malaysia kini tampak ketandusan pemain muda berbakat.

Dia yang ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, sebaliknya menegaskan pelaburan tiga tahun terhadap skuad pelapis negara itu bukan satu pembaziran.

Semalam, Nadi Arena melaporkan Skuad Projek FAM-MSN akan digantikan dengan skuad B-19 yang akan fokus dalam persediaan tiga tahun lebih awal menuju Sukan SEA 2027.

Dengan bajet sudah diluluskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), pembentukan skuad berkenaan sepenuhnya tanggungjawab badan induk bola negara.

"Saya sokong Skuad Projek FAM-MSN dibubarkan kerana kami tidak dapat menurunkan bakat terbaik.

"Pemain AMD (Program Pembangunan Bolasepak Nasional) menyertai kelab maka saya tidak dapat tujuan untuk meneruskan program ini kerana tidak dapat menyenaraikan pemain.

"Projek ini tidak gagal kerana pernah menjuarai Piala AFF B-20 di bawah kendalian Hassan Sazali Waras, separuh daripada tonggak pasukan itu terdiri daripada skuad projek ini dan meraih pencapaian yang sangat bagus," kata O'Donnel yang ditemui dalam Majlis Pelancaran Edisi Keempat Liga Remaja Laliga dan Kejohanan Remaja Laliga 2024 di ibu negara, hari ini.

Kejohanan yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM dan berlangsung bulan depan itu akan menampilkan 100 pasukan dari 10 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Lebih menarik, seorang pemain yang bertuah berpeluang mengikuti sesi latihan dengan sebuah akademi di Madrid, Sepanyol, sebagai pemain terbaik kejohanan.

"Pemain dari Thailand yang memenangi musim kedua, tahun lalu, akan pergi ke Eropah pada Julai ini.

"Ini peluang sekali seumur hidup bagi pemain-pemain ini untuk berlatih dengan jurulatih terbaik tanpa mengeluarkan sesen pun" kata Pengarah Urusan Sambill Park, Daniel Wong.