LIGA SUPER MSIA
Penang catur masalah kecederaan, kontrak pemain
Jurulatih Penang, Thomas Trucha, mengharapkan tempoh rehat selama hampir sebulan ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pasukannya yang kini dalam misi buru kemenangan sulung dalam saingan Kumpulan A.
Mereka sekadar mengumpul satu mata ketika melayani kunjungan Kuala Lumpur (KL) City di laman sendiri, bulan lalu, selain tumbang kepada Sarawak United.
Pengendali dari Republik Czech itu turut berharap agar beberapa pemain tonggak yang berdepan kecederaan sebelum ini sempat pulih sebelum skuad Harimau Kumbang berkunjung ke Stadium Darulmakmur bagi menghadapi Sri Pahang untuk perlawanan ketiga peringkat kumpulan pada 30 Oktober ini.
Justeru, aksi persahabatan menentang skuad B-22 negara (Jumaat ini) dan Perak antara kesempatan terbaik untuk mereka memperkemaskan semula rentak.
"Kami menghadapi masalah kecederaan dan ada yang tidak sihat.
"Kami berikan mereka masa untuk pulih. Malah, ada yang sedang bersama pasukan kebangsaan.
"Bagus juga dengan jadual antarbangsa ini agar kami dapat mengatur semula langkah termasuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagi peluang buat pemain beraksi dengan kerap.
"Pengurusan juga boleh bersedia dengan kontrak pemain," kata jurulatih itu.