Pemilik kelab Marcerra United ditahan ingkar bayar gaji RM1.4j
Shaiful Shamsudin
Oktober 16, 2024 19:43 MYT
Oktober 16, 2024 19:43 MYT
Arena bola sepak negara hari ini gempar apabila seorang bekas pemilik kelab bola sepak digari dan dipenjara, secara tidak langsung menjadikan ini kali pertama satu perintah tangkapan dikeluarkan mahkamah bagi kes tunggakan gaji kelab bola sepak.
Ia membabitkan bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United yang didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berjumlah RM1.4 juta.
Seorang lelaki dengan gelaran datuk ditahan selepas didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji mebabitkan 46 pemain dan 12 pegawai pasukan itu pada 2018.
Individu berusia lingkungan 50 tahun itu ditahan selepas selesai prosiding sebutan berkaitan satu kes mahkamah lain di mahkamah sesyen di Shah Alam hari ini.
Penahanan dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Februari lalu.
"Perintah kami dapat dari 2024 namun hari ini baru buat tangkapan.
"Terdapat beza dalam bidang tangkapan. Tangkapan hari ini adalah komital yang bangkit daripada saman sivil.
"Untuk bidang kuasa jenayah, ketetapannya undang-undang itu sudah jelas. Polis ada kuasa untuk memulakan siasatan berhubung laporan dan tangkap sesiapa ke dalam tahanan.
"Dalam kes ini berbeza, ini adalah tangkapan sivil. Semasa tarikh perintah diberikan pada 13 Disember 2024, kebiasaan hukuman dijalankan pada hari itu.
"Tapi dalam kes ini sedikit berbeza. Pihak pembela pada dua minggu terakhir telah memohon kepada Yang Arif untuk buat pembayaran. Pada Februari, (pihak pembela) dibenarkan pulang untuk bayar baki RM1.4j.
"Itulah isu yang sedang kami hadapi. Ini bukan jenayah dan dia melarikan diri sepanjang tempoh tersebut.
"Berbangkit pada tarikh hari ini, datuk sebenarnya dituduh atas kes lain di bawah sesyen 240 di bawah projek lebuh raya.
"Memandangkan hari ini adalah pengurusannya, kami telah mendapat waran baru. Alhamdulillah hari ini kami telah berjaya buat tangkapan," kata peguam peguam, Suhail Rahimi Abdul Razak dalam laporan Zulhelmi Zainal Azam.