Pemilik baru Chelsea tuduh Roman Abramovich punca kerugian RM657.3j
Shaiful Shamsudin
Mac 28, 2023 08:39 MYT
Mac 28, 2023 08:39 MYT
Chelsea melaporkan kerugian sebanyak £121 juta (RM657.3j) yang juga merupakan rekod tertinggi mereka selepas sekatan dikenakan ke atas bekas pemilik, Roman Abramovich, oleh kerajaan United Kingdom (UK).
The Blues menyiarkan laporan akaun tahunan mereka meliputi musim 2021-22 yang mencatat kerugian besar termasuk memerlukan lesen khas untuk beroperasi.
Abramovich telah disekat oleh kerajaan UK selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022 selepas dia dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan presiden negara itu, Vladimir Putin, dan akibatnya beberapa aset individu berpengaruh yang lain turut dibekukan.
Ia menyaksikan Chelsea terpaksa beroperasi di bawah lesen khas yang menyekat kelab daripada menjual tiket, menerima tempahan acara dan menandatangani kontrak dengan pemain hingga pengambil alihan oleh Todd Boehly selesai pada 30 Mei 2022.
Dalam satu kenyataan awal pagi tadi, Chelsea menjelaskan kesan sekatan ini akan mula terasa pada tahun-tahun berikutnya.
"Keputusan tahun ini terjejas disebabkan sekatan yang pernah dikenakan ke atas bekas pemilik kelab pada 10 Mac 2022," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan.
Chelsea representing at Wembley! ? pic.twitter.com/wLvaMiHqH3
— Chelsea FC (@ChelseaFC) March 26, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Akibatnya, kelab dikehendaki beroperasi di bawah lesen khas yang dikeluarkan oleh kerajaan UK. Sekatan ini dikenakan sehingga selesai penjualan kelab pada 30 Mei 2022.
"Dalam tempoh ini, kami telah dihalang daripada melaksanakan beberapa perkara, malah tidak terhad kepada penjualan tiket hari perlawanan dan bermusim, cenderahati, menerima tempahan acara serta menandatangani kontrak dengan pemain dan rakan kongsi penajaan komersial yang secara kolektif mengakibatkan perbelanjaan luar biasa dan kehilangan pendapatan.
“Tambahan pula, beberapa sekatan ini juga dijangka memberi kesan ke atas kewangan pada tahun-tahun berikutnya berikutan kesan jangka panjang terhadap sekatan ke atas perjanjian kontrak baru.
"Menjelang akhir tempoh yang dibenarkan, kelab telah dibenarkan menjual tiket untuk perlawanan tertentu, dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) komited untuk mendermakan semua hasil kutipannya kepada badan amal.
"Sekatan ini telah ditarik balik sejurus perubahan pemilikan dan semua operasi kini telah disambung semula."
The Blues mengumumkan kerugian bersih keseluruhan sebanyak RM657.3j sambil mereka mengesahkan mereka masih mampu mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan EPL dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).