Calon timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Hamid Apdal, bertekad untuk memajukan lagi bola sepak di Sabah khususnya dari segi pembangunan akar umbi.
Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu, berkata, Sabah memiliki ramai pemain berbakat terutama dari luar bandar dan beliau yakin dengan perancangan yang lebih teratur dan strategik, lebih ramai pemain berbakat dilahirkan.
Advertisement
"Antara matlamat yang akan saya lakukan sekiranya dipilih (sebagai timbalan presiden SAFA) nanti ialah membangunkan bola sepak di peringkat luar bandar.
"Seperti kita sedia maklum, kita memiliki ramai bakat-bakat bola sepak daripada luar bandar namun saya percaya dengan program yang lebih teratur, kita mampu melahirkan lebih ramai lagi (pemain dari luar bandar)," katanya pada dalam satu sidang media, di Kota Kinabalu, hari ini.
Terdahulu, Hamid mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden SAFA pada pemilihan sempena kongres tahunan persatuan itu, Sabtu ini.
Adik kepada ketua menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal itu berkata, beliau membuat keputusan itu berikutan dorongan beberapa pihak yang mahukan beliau berada dalam SAFA, seterusnya membantu persatuan berkenaan untuk lebih maju.
Hamid sebelum ini turut dicalonkan untuk jawatan presiden namun dia membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya bertanding jawatan tertinggi itu.
"Saya menyahut seruan ketua menteri yang mahu individu punyai lebih banyak masa menerajui SAFA, berundur diri bukan bermaksud saya mengalah, tetapi sebenarnya ia satu langkah untuk menjadikan SAFA lebih maju," katanya.
Sementara itu, Hamid turut berkata, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak atau kumpulan yang bertanding pada pemilihan itu nanti.
"Apa yang paling penting, tidak kisah menang atau kalah, semua yang bertanding masih dapat duduk semeja untuk sama-sama memberikan idea bagi memajukan SAFA seterusnya memajukan bola sepak di Sabah.
"Saya melihat dua calon presiden yang bertanding sama-sama memiliki potensi masing-masing, saya serahkan kepasa perwakilan untuk memilih nanti dan saya harap mereka membuat pilihan yang terbaik," katanya.
Pada kongres tahunan SAFA yang bakal berlangsung, Sabtu ini, jawatan presiden bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara pemangku presiden ketika ini, Datuk Yusoff Kasim dan mantan setiausaha agung, Alijus Sipil.
Bagi jawatan timbalan presiden pula, selain Hamid, tiga lagi calon lain ialah Datuk Rahman Zakaria, Datuk James Wong, dan Fredoline Penggo.