BOLA SEPAK

Pemain tidak jujur punca MISC-MIFA dibelasah Sarawak -- Joseph

Shaiful Shamsudin 14/02/2017 | 23:05 MYT
Jacob Joseph memiliki alasan besar untuk "mengamuk" malam tadi.
Semuanya gara-gara barisan pemain MISC-MIFA tidak "jujur" bermain hingga menyebabkan mereka hampir menjadi mangsa buli Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
"Saya kecewa. Ada antara pemain yang tidak jujur bermain, hingga menyebabkan kami dibelasah empat gol pada separuh masa pertama," kata ketua jurulatih MISC-MIFA itu.
Dalam aksi di Stadium Negeri malam tadi, pasukan Liga Perdana itu tumbang 6-3 kepada Sarawak, dengan aksi separuh masa sudah pun ketinggalan 4-0.
Gol skuad Ngap Sayot dijaringkan secara hatrik oleh Mark Andrew Hartmann pada minit ke-11, 59 dan 80 manakala gol pada minit ke-24 dan 37 disumbang Mateo Roskam, dengan kedua-duanya menampakkan keserasian mendadak.
Pemain pertahanan Sarawak, Ronny Harun, turut menggegarkan jaring pada minit ke-33.
Gol Misc-Misa pula diledakkan oleh Oii Shee Keong pada minit ke-56, sebelum Michael Chukwubunna Ijezie menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-69 dan 77 untuk merapatkan kedudukan.
Jaringan itu hadir setelah Satheskumar Vingkatasin dihadiahkan kad merah kerana mengasari Mohamad Hafiz, yang menyebabkannya berakhir di atas pengusung.
Dengus Joseph lagi, perlawanan ini sememangnya amat teruk dan mengecewakan, terutama di barisan pertahanan dan penjaga gol.
"Saya terpaksa menukar penjaga gol, Mohd Khairul Izzuwan, dan pemain pertahanan untuk mendapat momentum baharu.
"Arahan yang saya berikan sebelum itu mereka abaikan, terutama dalam mengekang kelibat Mark Hartmann dan Dalglish Papin Test yang lincah."
Menurutnya, beliau berulang kali meminta pemainnya mengawasi ketat kedua-dua penyerang ini kerana pemain tengah Sarawak berulang kali mengumpan bola kepada mereka untuk mencipta serangan.
"Arahan saya tidak dihiraukan, malah mereka memberi ruang kepada pemain ini untuk bergerak di semua tempat.
"Akhirnya kami melepaskan empat gol mudah dalam masa 30 minit," katanya yang tidak tahu apa yang terjadi kepada pemain-pemainnya pada 45 minit pertama itu.
"Mereka tidak pernah mereka bermain seburuk ini dalam Piala FA mahupun Liga Perdana.
"Seolah-olah tidak tahu bermain bola. Saya amat kecewa."
Menurutnya lagi, pada separuh masa kedua, anak-anak buahnya bangkit dengan 10 pemain dan boleh menjaringkan tiga gol, tetapi kenapa dengan 11 pemain pada separuh masa pertama, pasukannya "kena" 4 gol?
"Itu yang musykil!"
Joseph bertekad akan merombak barisan bentengnya bagi menghadapi perlawanan akan datang menentang Kuantan FA.
;