Skip to main content

Bola Sepak

Pemain asing keutamaan kelab Serie A -- Cutrone

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

patrick-cutrone.jpg
Patrick Cutrone berterima kasih kepada AC Milan tetapi mendakwa dia telah dijual oleh bekas kelabnya itu kerana pasukan Itali meletakkan keutamaan untuk menurunkan pemain dari luar negara.

Pemain yang melakukan satu penampilan bersama Itali itu menamatkan kerjasama dengan Milan selepas 12 tahun, bulan lalu, selepas menerima tawaran menyertai Wolves dengan kontrak selama empat tahun.

Dia hadir menerusi akademi The Rossoneri dan menjaringkan 18 gol dalam semua kejohanan bagi musim 2017-18 tetapi pemain berusia 21 tahun itu kurang prolifik musim lalu dan mengambil keputusan untuk berkelana ke Molineux dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai EUR22 juta (RM101 juta).

Penyerang kebangsaan Portugal, Rafael Leao, dibawa masuk untuk menggantikan Cutrone -- sama seperti Moise Kean yang meninggalkan Juventus untuk menyertai Everton -- yang menjelaskan cara pasukan beroperasi dalam Serie A.

"Saya dan Kean dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)? Ia merupakan cerita yang sama -- pemain import adalah pilihan kelab Serie A," katanya kepada Gazzetta dello Sport. 

"Bagi pemain muda Itali, ia amat sukar untuk membuktikan kebolehan, namun saya tetap berterima kasih kepada apa yang diberikan oleh Milan kepada saya."

Cutrone akan kembali ke Itali bersama skuad Wolves untuk beraksi dalam perlawanan pertama play-off saingan Liga Europa berdepan Torino.

Produk Milan itu telah turun empat kali bersama pasukan barunya dan dijangka berdepan tugas sukar di Turin awal pagi esok.

"Tanggapan pertama saya terhadap Wolves sangat mengagumkan. Saya diterima baik serta sudah menyesuaikan diri dengan pasukan.

"Saya tidak gemar tinggal di hotel, jadi saya telah temui sebuah rumah dan saya kini ditemani oleh sahabat saya.

"Sudah pasti kami akan berdepan tugas sukar bertemu Torino. Mereka adalah pasukan yang berkualiti."

Advertisement

Must Watch Video