Peletakan jawatan mengejut Nidzam Jamil jadi persoalan


Oktober 31, 2024 14:29 MYT
Peletakan jawatan pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil, secara mengejut pada Rabu menimbulkan persoalan situasi yang sedang berlaku dalam skuad Gergasi Merah itu.
Penganalisis sukan tempatan yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya, Afizal Abu Othman berkata, Selangor ketika ini tidak beraksi buruk malah berada di kedudukan kedua Liga Super selain turut mendahului Kumpulan H dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Menurutnya, Nidzam juga telah memacu pasukan dengan baik melalui gandingan pemain muda tempatan dan import yang berkualiti.
"Apabila Nidzam letak jawatan ia sememangnya amat mengejutkan kerana beliau antara jurulatih tempatan yang berjaya membawa pasukan Selangor berada pada tahap yang bagus.
"Membimbing Selangor juga sudah tentu menghadirkan banyak tekanan kepada dirinya dan beliau mampu menanganinya dengan baik.
"Tetapi, kita pun tidak pasti apa perancangan pasukan atau Nidzam juga mempunyai tawaran lain.
"Namun, ia menjadi satu kerugian kepada pasukan Selangor apabila Nidzam meletakkan jawatan," katanya.
Pada Rabu, Nidzam membuat kejutan apabila melepaskan jawatan pengendali pasukan Selangor berkuat kuasa serta-merta selepas hampir tujuh bulan mengemudi Gergasi Merah.
Sepanjang membimbing Selangor, Nidzam membawa pasukan mencatat lapan kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan untuk berada di kedudukan kedua Liga Super.
Dalam aksi ACL 2 pula, Nidzam berjaya meraih dua kemenangan dan satu seri termasuk mengejutkan pasukan Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai FC untuk memimpin Kumpulan H.
Dalam pada itu, Afizal turut menyifatkan Nidzam telah berjaya membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih tempatan yang terbaik dimiliki negara.
Beliau yang rapat dengan Nidzam ketika berkhidmat selaku Setiausaha Agung Felda United dan pengendali berusia 44 tahun itu menjadi pengendali Felda percaya banyak pasukan lain akan membuka mata dengan kemampuan Nidzam.
"Di Selangor kita nampak bagaimana Nidzam berjaya membawa naik ramai pemain muda tempatan dan itu juga yang dilakukannya di Felda United dulu.
"Nidzam sangat berbeza dan saya harap beliau dapat membimbing pasukan lain kerana memiliki pengalaman serta skil kejurulatihan yang sangat baik," katanya.
Kredit: Sukan Sinar
#liga super #Selangor #Liga-M #Nidzam Jamil
;