PIALA MALAYSIA
PDRM anggap faktor jadual bukan kelebihan jumpa Kuala Lumpur City
Ketua jurulatih PDRM, Razak Jaamadi, menegaskan pasukannya tidak memiliki sebarang kelebihan ketika berdepan Kuala Lumpur City, tiga hari selepas skuad Warga Kota beraksi di pentas final Piala AFC.
Bagi Razak, ia tidak akan beri sebarang impak kepada skuad Sang Saka Biru Selasa depan walaupun Kuala Lumpur City mungkin berdepan kelesuan berikutan misi merebut Piala AFC itu.
"Saya tidak ambil kira, itu semua perang psikologi mereka.
"Saya menuntut pemain supaya fokus dengan persediaan dalam latihan dan perlawanan ujian.
"Persiapan kami berjalan lancar untuk saya dapatkan kesebelasan terbaik.
"Apa sahaja yang berlaku akan kami hadapi dalam perlawanan," katanya kepada Nadi Arena di Pulapol, hari ini.
Sementara itu, pemain tengah PDRM, Azrie Reza, yang mengagumi juara bertahan tersebut juga tidak menganggap pertemuan berkenaan sesuatu yang perlu digusarkan.
"Kami gigih membuat persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia.
"Kami tetap hormat mereka sebab mereka merupakan juara bertahan.
"Lagipun mereka finalis Piala AFC," katanya.