LIGA SUPER MSIA
PBSNT belanja RM1.2 juta baik pulih Stadium Sultan Mizan
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus semakin hampir menjadi gelanggang rasmi Terengganu FC (TFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.
Ini berikutan kerja-kerja penukaran rumput berharga hampir RM1 juta di stadium itu telah siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan menjelang sepak mula Liga Super hujung bulan depan.
Menurut satu kenyataan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini, kerja-kerja membaik pulih melibatkan kos tambahan RM1.2 juta turut akan dilaksanakan.
Iklan
Penambahbaikan tersebut meliputi trek olahraga yang rosak teruk dan kerja-kerja penggantian rumput tiruan akan dimulakan dengan segera.
"PBSNT melalui kerajaan negeri kekal dengan hasrat menjadikan SSMZA gelanggang rasmi TFC bagi cabaran musim baru ini.
"Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga presiden PBSNT, komited untuk menyambung projek di sekitar padang dengan peruntukan RM1.2 juta lagi.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyelia projek ini sambil syarikat RS Greenmaster diberi tugas menukar imej SSMZA," kata kenyataan itu.
Projek menaik taraf padang SSMZA menjadi perintis usahasama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan TFC pada April tahun lalu dengan kerja-kerja penukaran padang berjalan lancar sehingga hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut aksi pembukaan Liga Super menemukan TFC dan Perak pada 29 Februari ini akan dilangsungkan di SSMZA selepas stadium itu memenuhi kriteria yang ditetapkan MFL.
Kredit foto: Terengganu FC (TFC)
Editor: Muzaffar Musa
Must-Watch Video