UEL

Payet tidak gentar pengalaman Atletico Madrid

Penulis Jemputan 16/05/2018 | 00:11 MYT
Bintang Marseille, Dimitri Payet, sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir Liga Europa, awal pagi esok sungguhpun dibayangi kecederaan.
Pemain berusia 31 tahun itu tersisih ketika Marseille seri 3-3 dengan Guingamp dalam aksi Ligue 1, Jumaat lalu, sebagai langkah berjaga-jaga ekoran masalah otot.
Payet mengakui dia perlu berhati-hati dalam pemulihannya sambil menegaskan tiada jaminan dia akan cergas sepenuhnya untuk bertemu Atletico Madrid di Lyon.
Bagaimanapun, bekas pemain West Ham itu berkata dia berasa baik menjelang perlawanan itu.
"Saya dalam keadaan lebih baik, saya fikir saya akan cergas," katanya dalam sidang akhbar.
Payet mengakui Marseille berkemungkinan merupakan pasukan 'underdog' untuk bertemu sebuah pasukan yang beraksi dalam dua daripada empat final terakhir Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, pemain antarabangsa Perancis itu berkata mereka akan turun dengan perancangan yang jelas dalam usaha mengganggu rentak barisan Diego Simeone.
"Mereka mempunyai pengalaman tetapi kami mengkaji lawan kami dan kami tahu bagaimana untuk menghadapi mereka," katanya.
"Kami mungkin tidak dapat menampilkan permainan yang cantik tetapi matlamat utama adalah menjaringkan satu gol lebih banyak daripada mereka."
;