SERBIA 0 BRAZIL 2
Paulinho dan Thiago Silva memberikan Brazil kemenangan selesa 2-0 ke atas Serbia untuk menjuarai Kumpulan E, Piala Dunia dan menyingkirkan skuad kendalian Mladen Krstajic.
Kemenangan Brazil itu menyaksikan mereka akan berdepan Mexico dalam aksi pusingan kalah mati pada Isnin ini manakala Switzerland, bukan Serbia, bakal bertemu Sweden di St Petersburg pada hari berikutnya selepas seri 2-2 dengan Costa Rica.
Skuad bimbingan Tite itu, yang terpaksa menunggu hingga masa kecederaan untuk mengatasi Costa Rica, Jumaat lalu, hanya memerlukan 36 minit untuk jaringan pembukaan di Moscow apabila Paulinho menjolok masuk hantaran Philippe Coutinho menewaskan penjaga gol, Vladimir Stojkovic.
Ia merupakan jaringan kelapan Paulinho sejak Tite mengambil alih Brazil pada 2016 dan meningkatkan semula prestasi bekas bintang Corinthians itu, dengan hanya Neymar dan Gabriel Jesus (10) menjaringkan lebih banyak gol.
Pemain tengah Barcelona itu digantikan dengan pemain yang lebih bersifat bertahan, Fernandinho, pada minit ke-66 selepas Serbia melancarkan serangan bertali arus dalam usaha menyelamatkan kempen Piala Dunia mereka.
Tetapi Silva, bekas kapten pasukan yang diketepikan selepas gagal membantu Brazil menjuarai Piala Dunia empat tahun lalu, melengkapkan kemenangan dan menghidupkan peluang untuk menjuarai Piala Dunia buat kali keenam.
The Selecao memulakan permainan dengan positif tetapi terpaksa menggantikan Marcelo dengan Filipe Luis, yang kembali beraksi daripada kecederaan patah kaki bulan lalu, selepas 10 minit setelah bek kiri Real Madrid itu mengalami kecederaan di awal permainan.
Jesus bebas mencari ruang ketika berada dalam kawasan pertahanan Serbia dan kerap mencipta peluang buat Neymar, dengan percubaan yang berjaya dinafkan oleh Stojkovic.
Penyerang Manchester City, Jesus, turut memiliki peluang selepas berjaya memintas Sergej Milinkovic-Savic untuk menghasilkan jaringan tetapi rembatannya berjaya dihalang oleh Nikola Milenkovic.
Adem Ljajic meraih kad kuning selepas melakukan terjahan kepada Neymar, dengan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menerima rawatan dan Aleksandar Mitrovic gagal menetapi sasaran dengan percubaan akrobatiknya pada minit ke-34.
Jaringan pembukaan hadir dua minit kemudian dan perlawanan memihak kepada Brazil. Filip Kostic gagal menghidu ancaman Paulinho, yang berlari melepasi dua pertahanan sebelum menampan hantaran Coutinho.
Lima minit selepas perlawaan bersambung dalam babak kedua, Neymar melepaskan percubaan yang berjaya dinafikan oleh Stojkovic dan Serbia bertindak balas dengan memberikan tekanan.
Antonio Rukavina, yang turun beraksi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Branislav Ivanovic, melepaskan rembatan yang ditolak oleh Alisson dan penjaga gol itu menarik nafas lega menyaksikan Silva menghadang tandukan Mitrovic.
Hantaran silang Milinkovic-Savic membuatkan Alisson cemas, mujur Mitrovic melakukan tandukan tepat ke arah kaki penjaga gol itu pada minit ke-65.
Tite menggantikan Paulinho dengan Fernandinho bagi mencari keseimbangan dalam perlawanan tetapi Silva mengambil kesempatan dengan menanduk masuk hantaran Neymar dua minit kemudian.
Serbia terpaksa menerima hakikat tersingkir daripada Piala Dunia dan Brazil dengan yakin mara ke pusingan kalah mati sambil Stojkovic terus menggagalkan Neymar untuk mencari jaringan dalam masa kecederaan tetapi Selecao boleh bergembira apabila juara bertahan, Jerman tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas 2-0 kepada Korea Selatan, malam tadi.
Bola Sepak
Paulinho, Silva pastikan Brazil juarai Kumpulan E
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena