Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, kecewa kempunan mendapatkan sentuhan Natxo Insa untuk kem latihan pusat menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Laos dan India bulan ini.

Perasaan terkilan itu timbul memandangkan Natxo sedang di tahap terbaiknya berbanding ketika mewakili negara dalam Piala Asia Qatar, Januari lalu.

Justeru, Pau Marti bertindak memanggil pemain Kelantan Darul Naim, Fazrul Amir, dan Zhafri Yahya (KL City) untuk menampung ketiadaan seorang lagi pemain iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi daripada kelab Selangor bagi menghadapi tentangan Laos dan India bagi jadual antarabangsa bulan ini.


"Mukhairi menghadapi sedikit isu kecederaan dan selepas diperiksa, dia pulang ke pangkuan kelabnya.

"Saya sempat bercakap dengan Natxo pada minggu ini dan dia menyatakan hasrat untuk ke mari.

"Tapi dia mengalami kekejangan ketika bertemu Ulsan dan kami tidak mahu mengambil risiko.




"Sudah dua tahun kami memantau Fazrul tapi kami tidak pernah berpeluang untuk menurunkannya.

"Tetapi apabila namanya tersenarai dalam skuad kedua, dia seharusnya sudah berfikir bahawa akan terbabit dalam pasukan.

"Saya juga sering menyatakan kepada Zhafri bahawa dia berhak untuk beraksi.

"Dia merupakan seorang pemain yang menjadi idaman mana-mana jurulatih dan sedia untuk menghulurkan bantuan," katanya dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.